BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 5, 2010

review dr Harian Metro 05hb 05 2010...Sayang cendana~

JIKA 1965, filem Patung Cendana mengisahkan cinta tragik antara seniwati Latifah Omar dan seniman Nordin Ahmad. Kini, versi era milenium pula mengetengahkan pelakon jelita, Juliana Evans bergandingan bersama Fezrul Khan sebagai pasangan kekasih.
Diadaptasi menjadi kisah percintaan antara manusia dan puteri dari alam fantasi, ia disuntik elemen cinta yang disaluti komedi. Malah, dikekalkan juga mesej kesetiaan pada cinta yang ikhlas di hati dan tidak sedikit pun bersandarkan rupa.

Namun, padah akibatnya jika memungkiri janji terhadap percintaan itu. Justeru, perjalanan kisah ini bermula apabila seorang puteri fantasi, Cendana lakonan Juliana yang dihukum ayahandanya menjadi patung di alam manusia dan harus bertemu cinta sejati.

Akibat sumpahan itu, Cendana turut terpisah dengan dayangnya, Donna lakonan Nadia Mustafar kerana dia muncul di butik lama. Selepas 30 tahun, barulah premis itu dibeli Amelia, lakonan Intan Azura. Ketika berkemas, patung Cendana ditemui.

Amelia mahu membuang patung itu tetapi dihalang adiknya, Hakimi yang cacat di muka dan tempang sebelah kaki. Patung Cendana dibawa pulang ke rumah mereka. Sementara itu, Donna tak putus asa menjejaki di mana patung Cendana berada.

Apakah yang berlaku seterusnya? Bagaimana Cendana boleh jatuh cinta kepada Hakimi? Adakah Hakimi akan berubah kacak? Pastinya, ia boleh disaksikan menerusi slot Lagenda di TV3, jam 4.30 petang mulai 3 Mei lalu sebanyak 20 episod.

Diterbitkan produksi Pena Creatives Pictures milik Ziela Jalil, skrip drama ini ditulis Mazelan Mana dan mendapat sentuhan Ismail Yaacob sebagai pengarah. Antara barisan pelakon lain yang membintanginya seperti Kat (Mentor), Shajiry, Tony Eusoff dan Kuman.

Menurut Ismail, apa yang dikisahkan dalam filem pada era 60-an lalu tidak sama dengan versi drama yang diarahkannya. Ujarnya, cuma patung Cendana itu saja di adaptasi manakala perjalanan ceritanya digarap mengikut keadaan sekarang.

“Disebabkan itulah, saya memilih Juliana untuk melakonkan watak Cendana. Malah, saya juga melihat dia sebagai patung. Apabila melakonkan watak patung, memang raut wajah Juliana menjadi. Itu yang penting kerana penonton akan menilai.
“Selain itu, Juliana ini pun kalau dipakaikan rambut palsu tetap kelihatan seperti patung. Di situ, saya nampak keaslian kejelitaannya. Apapun, selain percintaan, turut dimuatkan juga konflik emosi dan persaingan perniagaan yang biasa diketengahkan dalam drama Melayu.

“Bagaimanapun, cabaran bagi saya dalam menghasilkan drama ini ialah menyusun jadual artis kerana tempoh penggambaran ditetapkan selama 55 hari. Lokasi pula di sekitar Kajang, Taman Melawati dan Shah Alam. Tidak terkecuali, ada babak memerlukan animasi 3D,” katanya.

Menyentuh soal karier pengarahannya, Ismail berkata, dia mula duduk di kerusi sutradara sejak 15 tahun lalu. Malah, dalam tempoh itu, dia juga terbabit mengarahkan filem termasuk aktif berlakon. Katanya, apa yang pasti dia amat meminati seni.

Kata Ismail, sekalipun tidak dapat mengelak kesukaran, tetapi dia melakukan segala tugas dengan gembira. Sebagai manusia biasa, siapa yang tidak mahukan kesempurnaan. Namun, bagi mendapat hasil terbaik dan berkualiti, haruslah gigih berusaha.

sumber :: harian metro on9..thanx metro!

0 comments: